Wednesday, February 16, 2011

PERSOALAN REMAJA

oleh: Ibrahim bin Ishak

Seringkali kita di paparkan dengan isu berkaitan dengan remaja. Isu pembuangan bayi, melanggar peraturan jalan raya seperti merempit, gangguan seksual, berpelesaran, vandalisme, tidak menghormati orang yang lebih tua, menderhaka, lari dari rumah, lari mengikut kekasih, rogol, jenayah bunuh, buli di jalan raya semuanya mempunyai kaitan dengan remaja.

Berbagai makanisme di perkenalkan oleh kerajaan untuk mengawal kejadian ini dari menjadi bertambah teruk dan parah. Pelbagai kaedah diperkenalkan seperti aktiviti rakan muda, PLKN, rakan masjid, rakan cop dan sebagai tetapi statistik masih menunjukkan tiada penurunan dalam kes-kes melibat remaja. Keadaan ini menjadikan masyarakat memandang rendah kepada setiap remaja yang berpelesaran samada di pasaraya-pasaraya atau di sekitar kawasan perumahan mereka. Remaja terlibat menjadi semakin liar dan ibu bapa didapati tidak mempunyai kekuatan mental dan fizikal untuk mengawal setiap anak remaja dalam keluarga mereka. Masyarakat mengambil sikap tidak peduli dengan remaja liar terlibat kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga mereka. Hasilnya keselamatan masyarakat setempat menjadi tidak menentu disebabkan kewujudan golongan remaja liar sedemikian.

Persoalannya ialah kenapakah aktviti yang di perkenalkan oleh kerajaan dilihat gagal untuk menyelesaikan masalah remaja liar ini. Kecanggihan teknologi dan penggubalan undang-undang baru didapati tidak dapat membendung peningkatan remaja dalam isu-isu salahlaku dan jenayah.

Tepias dari remaja liar ini dapat dilihat di sekolah-sekolah seperti isu buli, peras ugut, gangguan seksual sesama rakan sekolah, seks bebas dan sebagainya. Paparan liar mereka dapat di lihat di dinding-dinding tandas sekolah dengan lukisan lucah yang menggambarkan status kerendahan moral mereka. Peralatan tandas dirosakkan mempamerkan sikap vandalisme mereka. Manakala aktiviti membawa pakaian gantian dalam beg sekolah untuk aktiviti pelesaran selepas sekolah membuktikan kelemahan kawalan sistem keluarga ke atas remaja terlibat. Manakala aktiviti melibatkan diri di pusat-pusat hiburan, pelacuran, rempit jalanan, bohsia dan bohjan mempamerkan kelemahan sistem penguatkuasaan kepada penggubalan undang-undang dalam negara.

Persoalan keduanya ialah kenapakah tindakan secara holistik tidak dapat digunakan untuk membendung isu salahlaku dan jenayah remaja masakini. Dimanakah silapnya sistem-sistem pembangunan ummah kita, sistem didikan konvensional kita, sistem kekeluargaan kita dan sistem modal insan kita.

Apabila kita memandu di di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan bandaran dan jalan kampung, kita akan melihat aksi-aksi remaja mempamirkan tingkahlaku negatif yang menyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya. Aksi memotong secara bahaya, memandu laju, mengubah suai kenderaan, memandu dibawah umur, memandu tanpa kelengkapan keselamatan, berlumba di jalan-jalan awam menjadikan jalan raya begitu tidak selamat kepada pengguna-pengguna awam. Hasil sampingannya ialah remaja lebih cenderung membelakangkan peraturan dan undang-undang dengan mengambil tindakan buli jalanan sekiranya berlaku kemalangan.

Persoalan ketiganya ialah dimanakah kekuatan penguatkuasaan undang-undang. Dimanakah letaknya hirarkhi kuasa dalam keluarga untuk membendung aktiviti yang disumbangkan oleh remaja-remaja mereka.

Kemajmukan masalah yang diwujudkan oleh remaja perlu diberi perhatian. Perlu dibayangkan keadaan sesebuah negara di masa hadapan dengan masalah remaja sebagai aset negara yang tidak dibendung secara holistik.

Persoalannya ialah kalau sistem dan mekanisme yang sedia ada tidak dapat memainkan peranan apakah perlu diwujudkan satu kementerian remaja yang dikhaskan kepada menyelidik, merumus, menggubal dasar, mengubal undang-undang atas kebangkitan isu remaja sekarang. Saya percaya kita mempunyai cerdik pandai dari fakulti – fakulti sains sosial dan saikologi yang bersedia mengambil tanggungjawab penyelidikan sekiranya di beri peluang, pangkat dan keistimewa dalam menjalan amanah berkaitan.

No comments:

Post a Comment